Friday, October 1, 2010

10 Kata-Kata Hikmat Imam Ali A.S

Salam untuk semua.. Dah lama saya nak post entry ni, tapi asyik tertangguh.. Ni adalah antara 10 Kata-Kata Hikmat Imam Ali A.S yang kita semua tahu adalah pintu kepada kota ilmu.. Rujukan dari Nahjul Balaghah (Buku Utama Syiah).. Mempelajari ilmu tidak bermakna membataskan diri dalam lingkungan sesuatu pegangan agama sahaja.. Betul kan?

1. Ketepikan dan maafkanlah kesalahan orang-orang yang pemurah dan bermaruah, kerana jika mereka jatuh, tangan Allah akan menarik tangan mereka (bangun) semula.

2. Seseorang itu menjatuhkan nilai dirinya bila ia mula merasa tamak. Ia rela dengan kehinaan bila ia menceritakan tentang kemiskinan dan kesusahannya. Ia menghinakan dirinya bila ia tidak dapat mengawal lidahnya.

3. Apabila sedikit nikmat sampai kepada kamu, maka janganlah 'dihalau' nikmat itu dengan perbuatan kurang bersyukur.

4. Sifat bakhil itu satu yang memalukan. Sifat penakut satu kekurangan. Kemiskinan menyebabkan seorang yang pintar terpaksa membisu walaupun mempunyai hujah yang terbaik. Seorang miskin itu menjadi asing dan dagang di dalam negerinya sendiri. Kelemahan itu satu penyakit. Kesabaran itu satu keberanian. Sifat zahid merupakan kekayaan dan wara' pula merupakan kubu atau perisai yang teguh.

5. Sebaik-baik teman ialah redza (rela dengan takdir Allah). Ilmu merupakan pusaka yang paling berharga. Adab merupakan pakaian indah yang tetap baru dan fikiran merupakan cermin yang bersih (pemikiran yang mendalam dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi).

6. Apabila dunia datang kepada seseorang, ia meminjamkan kebaikan manusia lain kepadanya dan apabila dunia meninggalkan orang itu, ia merampas kebaikan yang ada padanya.

7. Siapa yang menghisab atau mengira-ngira dirinya, ia akan beroleh keuntungan. Siapa yang lalai terhadap dirinya, ia akan rugi. Siapa yang takut (kepada hari akhirat) ia akan aman (dari kemurkaan Allah), siapa yang mengambil iktibar (pelajaran) dari kehidupan, ia akan mendapat visi (pandangan) dan siapa yang mendapat visi ia akan faham dan siapa yang faham ia mendapat ilmu.

8. Bergaullah dengan manusia secara baik sehingga jika kamu mati mereka menangis ke atasmu dan jika kamu hidup mereka kasih kepadamu.

9. Andainya kamu dapat menguasai seteru, maka jadikanlah kemaafan itu sebagai tanda syukur kepada Allah kerana dapat menguasai seteru atau musuh tersebut.

10. Manusia yang paling lemah ialah yang tidak berupaya mendapat sahabat handai di dalam hidupnya, tetapi yang lebih lemah lagi ialah yang hilang sahabat atau kawan setelah ia mempunyainya.
Share:

0 comments: