About Me

My photo
Daughter, Sister, Wife, Mother

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru :)

Salam.. :)

Selamat Hari Guru untuk semua guru-guru yang berdedikasi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Masih saya ingat tentang kata-kata pepatah, "Guru Ibarat Lilin, Sanggup Membakar Diri Menerangi Orang Lain.."

Masihkah ada guru seperti itu lagi sekarang ni? Maaf jika entri ini bakal menyinggung hati dan perasaan guru yang mungkin membaca blog saya.. Tapi zaman sekarang, berapa ramai je guru yang melakukan kerja mereka kerana amanah dan tanggungjawab. Memang saya tak nafikan tuntutan hidup sekarang ni sangat tinggi, malah ada antara kita yang langsung dah lupa tentang NILAI MORAL..

Saya mempunyai ramai kawan yang juga merupakan warga pendidik, dari guru tadika ke pensyarah di universiti. Kadang-kadang saya tak faham kenapa mereka ni sering merungut itu dan ini. Jika disuruh datang ke sekolah hari cuti, mengomel itu dan ini. Kami yang bekerja office hour ni, yang tak ada cuti di waktu cuti sekolah dan terpaksa ambil cuti tahunan kalau mahu bercuti pun rasanya jarang mengomel seperti guru-guru ini.

Seorang kenalan saya, menyambung pelajaran dan dia juga merupakan seorang guru, tapi masih komplain tentang belajar susah, ada anak perlu diuruskan, kerja di sekolah melambak.. Tapi pada saya cuma satu, bila kita kembali menjadi pelajar, sekaligus seorang pekerja, ibu serta isteri itu semua memang kita tak boleh pertikaikan. Belajar lah menjadi lebih bersyukur wahai guru-guru. Sebab saya tahu rata-rata mereka menyambung pelajaran, dibiayai PENUH oleh kerajaan..

Waktu saya tahun 6, guru kelas kami yang sedang sarat mengandung membaling sebotol penuh air kearah saya, gara-gara saya bergaduh dengan KETUA PENGAWAS sekolah, yang menuduh saya mencuri pensel Pilot Shaker ( yang sangat popular ketika itu ). Dan hari tu jugak saya mengamuk, sebab saya langsung tak tahu menahu tentang pensel tu, tapi hanya kerana dia seorang KETUA PENGAWAS makanya, apa yang dia cakapkan semuanya BENAR, dan setiap satu perkataan yang keluar dari mulut saya cuma DUSTA.

Sewaktu saya tingkatan 3, guru yang mengajar subjek Sains, menyindir saya hanya kerana saya bukan seperti kebanyakan murid perempuan di sekolah yang punya kekasih. Dan kekasih saya ketika itu cuma skate-board. Katanya, lebih baik punya kekasih hati lelaki, dari bersama skate-board. Saya cuma tersenyum.

Masih saya ingat peristiwa sewaktu saya tingkatan 4, saya bersama 4 orang rakan lain telah terpilih mewakili daerah untuk ke suatu Kursus Kewangan peringkat negeri, kebiasaannya guru pengiring WAJIB menemani anak murid sehingga habis selesai satu-satu kursus. Tapi, anehnya guru ini sanggup meninggalkan kami berempat di tepi jalan yang gelap dan sunyi sepi di waktu malam, kerana untuk masuk ke dalam resort tempat penginapan tu harus menempuh hutan sawit yang gelap. Juga tak lupa, setiap guru yang menjadi guru pengiring akan claim duit makan dan minum kami, tapi anehnya sekali lagi bila kami terpaksa keluarkan duit sendiri untuk makan. Dan waktu tu saya cuma bawa rm50. Setelah ditinggalkan di tepi jalan, saya dan 3 orang rakan lagi ( 2 daripadanya lelaki ) mengira-ngira, berapa duit yang kami punya, untuk menaiki teksi, dan menumpang di hotel murah untuk balik ke rumah esok harinya. Resort yang harus kami pergi tu, dah terasa terlalu jauh dari ingatan. Tapi mujurnya ada guru pengiring dari sekolah lain, yang sama daerah dengan kami yang membantu. SUMPAH, sehingga kini saya masih membayangkan apalah nasib kami andai tiada guru itu. Kalau apa-apa terjadi pada kami waktu tu, siapa yang akan bertanggungjawab?

Memang saya seorang murid yang nakal, tapi saya menghargai setiap satu guru yang ikhlas dalam mendidik kami, masih saya ingat seorang guru menangis teresak-esak selepas kami tak siapkan kerja sekolah yang dia bagi semalamnya, sungguh menjadi guru itu bukan hanya sekadar kamu mengajar kami itu dan ini, tapi juga menyentuh hati-hati kami dengan seikhlas hati.

Untuk guru pertama dalam hidup saya, UMMI yang banyak ajarkan kami tentang KEHIDUPAN. Mengajarkan kami tentang makna sebuah kasih sayang, mengajarkan kami erti tanggungjawab. Mendidik tanpa penuh rasa jemu dan minta dibalas. Terima kasih hingga hujung nyawa..

Untuk guru-guru yang saya sanjungi, SELAMAT HARI GURU, cikgu.. Kerana cikgu, saya menjadi diri saya sekarang.. Kerana saya pernah menjadi seorang guru, dan kini menjadi guru untuk anak-anak saya, moga segala ilmu yang kalian pernah curahkan takkan pernah menjadi sia-sia.

No comments: